

tentera 13
Vithiya Muniandy
Student ID: 0337055
Pada 20 Jun 2019, saya dan ahli-ahli kumpulan saya telah menjalankan projek ‘Kami Anak Malaysia” di Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama. Penganjuran program yang dinamakan “KAMI ANAK MALAYSIA (KAM)” dengan slogan MENYEMAI CINTA MELESTARIKAN PERPADUAN di bawah kursus Hubungan Etnik bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai perpaduan melalui penekanan lima prinsip Rukun Negara dan aktiviti silang budaya. Program ini juga bertujuan memberi penekanan tentang penerapan nilai murni dan kesedaran sivik.
​
Saya berasa amat bersyukur kerana berpeluang melibatkan diri dalam proses perancangan dan pelaksanaan program ini. Walaupun, banyak masa diperlukan dalam proses perancangan program ini tetapi saya mempelajari banyak sifat dan nilai yang amat penting sepanjang proses ini. Saya telah mempelajari kepentingan kerja berpasukan di mana setiap ahli perlulah melibatkan diri dan memberi sumbangan secara harmoni bagi mencapai matlamat yang sama. Selain itu, saya juga mempelajari kepentingan berkomunikasi dengan efektif supaya matlamat dapat disampaikan dan diterima oleh ahli-ahli yang lain.
​
Sebelum pelaksanaan program ini, kami berharap agar program ini dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda dan menyediakan ruang untuk generasi muda menzahirkan rasa cinta akan negara. Matlamat ini dicapai melalui pelaksanaan aktiviti Explore Race yang terdiri daripada 5 stesen merangkumi kuiz dan permainan yang dapat melahirkan sifat perpaduan, bekerjasama, bertolak ansur, dan semangat cinta akan negara antara pelajar. Permainan teka silang kata juga telah dilaksanakan selaras dengan tema Malaysia di mana, pelbagai soalan telah direka mengenai jasa-jasa pemimpin yang berkorban untuk negara kita, isu mengenai kemerdekaan,sifat patriotik yang harus disemai dalam setiap individu dan juga pengamalan lima prinsip Rukun Negara.
​
Memang tidak dapat dinafikan bahawa program ini bukan sahaja membawa banyak manfaat kepada kumpulan kami sahaja malah pelajar-pelajar sekolah juga. Saya juga sedar bahawa perpaduan merupakan tiang asas keharmonian hubungan antara etnik di Malaysia dan menjadi elemen yang sangat penting dalam pembentukan negara bangsa. Golongan muda seharusnya didedahkan dengan awal elemen-elemen perpaduan kerana mereka adalah penyambung warisan negara.