

tentera 13
Lee Ee Vone
Student ID: 0337240
Pada 20hb Jun 2019, saya dan ahli kumpulan telah menjalankan Projek ‘Kami Anak Malaysia’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama (SMK Subang Utama) yang terletak di SS 18 Subang Jaya. Projek ini mempunyai objektif yang berfokus kepada kesedaran dan kepentingan memelihara identiti diri sebagai warganegara Malaysia. Kami menyalurkan mesej tersebut melalui stesen permainan yang berbeza. Setiap stesen mempunyai nilainya dan murid-murid dapat mencungkil nilai tertentu. Permainan kami merangkumi pelbagai aspek seperti bersilang budaya, perpaduan, nilai-nilai murni dan kesedaran sivik, Rukun Negara dan perasaan cinta akan negara.
Sebelum pelaksanaan projek, kami sekumpulan telah mengadakan beberapa sesi perbincangan untuk menjelaskan konsep projek ini. Dari sudut perancangan, kami membina idea untuk permainan berpegang kepada konsep stesen tersebut. Contohnya, untuk stesen cinta akan negara, permainan yang direka perlu berjaya membawa maksud tersebut. Sepanjang perbincangan kami, semua ahli kumpulan berpeluang untuk menyuarakan pendapat masing-masing dan kami cuba memperbaiki idea kami dengan pandangan ahli lain. Semua ahli kumpulan bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing dan bersedia untuk menghulurkan bantuan demi kejayaan projek. Saya amat mengagumi usaha dan dedikasi ketua kumpulan dan semua ahli yang tidak berputus asa tidak kira apa jua keadaan yang kami hadapi. Kami mempunyai ahli yang matang dan cekal dalam menyelesaikan kesusahan dan rintangan sepanjang projek ini. Selain itu, saya sedar bahawa perancangan yang teliti supaya semua orang faham dengan aliran atau proses projek adalah amat penting untuk menjamin kelancaran aktiviti.
Sesi pemberian hadiah kepada guru dan murid-murid juga diadakan untuk menyempurnakan aktiviti tersebut. Selepas pelaksanaan projek, saya bersyukur dengan bimbingan dan bantuan ahli-ahli yang lain. Aktiviti ini bukan sahaja telah menambah ilmu saya terhadap negara kami, tetapi juga mengeratkan hubungan saya dengan kawan-kawan. Di samping itu, saya berasa kreativiti tiada batasan, permainan yang direka adalah amat menarik dan berkait rapat dengan tema tertentu dan ini adalah hasil usaha dan sumbangan semua ahli. Tidak dapat dinafikan bahawa projek kami berjaya mencapai objektifnya dan merupakan suatu kejayaan yang harus diraikan. Kami semua amat berterima kasih kepada Encik Serit, guru-guru dan murid-murid SMK Subang Utama dan semua pihak yang telah membantu untuk merealisasikan projek kami secara langsung atau tidak langsung.
